Mahu Kurus? Tingkatkan Metabolisma Badan!

9 January 2017

Fahami Konsep Metabolisma Badan Mereka yang Bertubuh Fit.


Sama seperti kereta memerlukan minyak sebagai bahan bakar untuk menggerakkan kenderaan, begitu juga badan kita. Metabolisma umpama pengurus minyak dan kereta umpama badan kita. Metabolisma merupakan jumlah tenaga atau kalori yang dibakar oleh tubuh untuk mengekalkan fungsi-fungsi tubuh yang asas.

Sebenarnyam tubuh kita membakar kalori secara berterusan setiap saat, bukan sahaja sewaktu kita bersenam, malah semasa kita tidur, membeli belah, mengemas rumah, menonton tv mahupun memasak.

Setiap individu memiliki metabolisma badan yang berbeza bergantung kepada komposisi tubuh badan seperti jumlah lemak dan otot.

Individu yang memiliki banyak tisu otot mempunyai kadar metabolisma yang lebih tinggi berbanding dengan mereka yang mempunyai lebih banyak lemak. Ini kerana tisu otot menggunakan (atau membakar) lebih banyak kalori untuk mengekalkan fungsinya.

Oleh itu, apabila anda berhasrat untuk memiliki badan yang lebih kurus dan fit, atau mahu mengekalkan kecergasan badan, anda perlu meningkatkan metabolisma badan.

Metabolisma badan yang lebih tinggi membantu anda mencapai sasaran untuk kurus dengan lebih cepat.





Berikut merupakan 10 kaedah mudah untuk meningkatkan metabolisma anda:

#1 Minum Air Secukupnya.

Badan kita terdiri dari hampir 80% air. Oleh itu, untuk mengekalkan setiap fungsi badan secara optimum, anda perlu minum air putih secukupnya. Meminum 8 gelas air yang disyorkan oleh pakar pemakanan.

#2 Ambil Supplemen.


Kajian menunjukkan bahawa kekurangan kalsium di dalam tubuh mencetuskan hormon yang menyebabkan badan anda bergantung dengan lemak yang sebenarnya boleh dibakar. Anda juga boleh mendapatkan kalsium dari susu rendah lemak, keju, dadih, ikan salmon, taufu dan oatmil.

#3 Makan!

Sebagaimana yang disarankan oleh agama, makan secara sederhana banyak kebaikannya. Konsep makan sebelum lapar, berhenti sebelum kenyang sebenarnya bermaksud makan dalam keadaan perut tidak terlampau lapar, berhenti sebelum kita berasa kenyang dan makan dalam kuantiti yang sedikit. Konsep makan begini membuatkan kita makan dengan agak kerap. Dan, itu bagus untuk perut dan badan.

Cuba amalkan konsep ini dengan formula '1/3 udara, 1/3 makanan dan 1//3 air'

Sekiranya perut anda sudah mula berasa lapar, bermakna ia memerlukan makanan. Jika anda tidak makan, fungsi tubuh akan menurun dan anda mungkin akan memakan berlebihan pada waktu makan seterusnya.

Pilihlah makanan yang mempunyai kandungan fiber dan protin yang tinggi seperti buah-buahan, biskut berfiber tinggi atau dadih.

Bagi pesakit endometriosis atau sakit puan contohnya, pakar sangat menyarankan anda mengambil makanan LCHF (Low Carbs High Fibre).

Lihat selanjutnya tentang LCHF.

#4 Tidur yang cukup.


Tidur sekurang-kurang 7 atau 8 jam setiap malam penting untuk mengekalkan metabolisme yang sihat. Kekurangan tidur boleh mengganggu kebolehan tubuh untuk membakar kalori. (Tidur yang lebih juga tidak baik dan mempunyai kesan yang sama!). Cuba kekalkan rutin tidur yang konsisten dan tidur dan bangun pada masa yang lebih kurang sama setiap hari.

Jika anda boleh tidur pada waktu tengahari, masa yang disarankan adalah 30 - 45 minit sebelum masuk waktu zohor dan tidur selama 30 minit. 1 minit tidur pada waktu ini seolah-olah anda telah tidur lena selama 3 jam pada waktu malam.

#5 Hindar Stress.


Stress meningkatkan jumlah kortisol di dalam tubuh. Kortisol merupakan hormon yang memberitahu tubuh untuk menyimpan lemak sebagai persediaan sekiranya di dalam situasi yang bertekanan tinggi. Melakukan senaman seperti yoga atau bermeditasi adalah contoh yang baik untuk membantu mengurangkan tekanan yang dihadapi. Atau, cuba adakan 'me-time' dan isi waktu tersebut dengan aktiviti-aktiviti yang anda sangat sukai dan minati.

Jika anda sangat meminati kucing, anda boleh habiskan waktu tersebut dengan bermain dengan kucing kesayangan.

#6 Sinar mentari baik untuk kesihatan dan metabolisme anda.


Kajian menunjukkan bahawa menghabiskan masa yang lama di dalam persekitaran yang tertutup dan gelap mempunyai kesan fisiologi yang sama seperti apabila anda tidur atau menambahkan berat badan. Waktu terbaik untuk berada di luar adalah di antara jam 11 pagi dan 3 petang. Berehatlah sebentar dari tugas-tugas pejabat atau keluarlah dari rumah dan berjalan di luar. Selain daripada mendapatkan sedikit sinar matahari anda juga akan menaikkan kadar jantung anda dan dapat menghirup udara yang segar.


#7 Lakukan senaman menggunakan pemberat.


Lakukan senaman menggunakan pemberat (weight training). Satu paun otot akan membakar 35 hingga 50 kalori manakala satu paun lemak membakar hanya 5 hingga 10 kalori. Dengan meningkatkan otot, tubuh dapat menaikkan kadar metabolisme asas (basal metabolic rate atau BMR) anda sehingga 40%. Anda tidak perlulah menjadi pengangkat berat seperti atlet bina badan. Menggunakan pemberat yang rendah dan melakukan bilangan ulangan yang tinggi juga terbukti dapat membina otot dan membakar lemak. Interval training atau latihan berkala adalah cara yang baik untuk mendapatkan kesan senaman yang maksimum sekiranya anda sibuk dan sukar mencari masa yang panjang untuk bersenam.

#8 C untuk cergas.


Suplemen Vitamin C juga penting. Vitamin C dan kalsium adalah rakan yang baik dalam meningkatkan metabolisme. Kalsium dapat mempercepatkan metabolisme manakala vitamin C membantu tubuh dalam penyerapan mineral tersebut.

#9 Pedas!


Sekiranya anda suka memakan makanan yang pedas dan bercili, ini berita baik untuk anda. Kandungan capsaicin di dalam cili mampu membakar kalori sehingga 30 minit selepas anda memakannya.

Namun, jika anda mengidap gastrik anda perlu berhati-hati. Pastikan anda minum air yang banyak selepas makan makanan pedas.

#10 Minum Teh Hijau atau Teh Oolong.


Gantikan cawan kopi atau teh tarik yang kedua itu dengan teh hijau atau teh oolong. Teh hijau
dan teh oolong mengandungi polifenol yang dapat meningkatkan kadar metabolisme. Anda perlu meminum 4 atau 5 cawan sehari untuk melihat kesannya.

Bonus: 

Amalkan beberapa sudu minyak kelapa dara setiap hari. Minyak kelapa dara adalah dari jenis MCFAs serta kaya dengan asid laurik yang membekalkan tenaga secara serta merta. Ia membantu badan meningkatkan metabolisma dan masa yang sama menguatkan badan.

Lihat kebaikan minyak kelapa dara.

Latest Instagrams

© Afiya. Design by FCD.