Jodoh Akan Sampai Tepat Pada Waktunya

10 February 2017



Pada minggu lepas, saya menghantar kawan pulang ke rumahnya. Pada waktu itu, saya rasa ingin makan ais cendul. Memang ais cendul adalah makanan kegemaran saya. Saya bertanya kepada kawan saya itu, adakah di sekitar rumahnya ada gerai yang menjual ais cendul. Dia berkata ada, tapi kadang-kadang gerai itu tidak buka. Akhirnya saya memberitahu, tidak mengapalah, saya mencari di tempat lain dalam perjalanan pulang.

Saya memandu kereta dengan 'mode' bersiar-siar, mencari-cari gerai cendul dalam perjalanan pulang. Saya cuba melalui lorong-lorong yang tidak pernah saya lalui. Ketika itu, panas agak terik, memang sedap kalau ada ais cendul.

Saya tidak bertemu dengan satu gerai pun yang menjual ais cendul. Akhirnya, saya membuat keputusan untuk membeli teh o ais di restoran sahaja. Saya singgah di sebuah restoran, saya beli satu teh o ais dan goreng pisang RM2. Saya terus makan di situ. Selesai makan saya pulang ke rumah.

Namun begitu, berlaku sesuatu yang saya tidak sangka semasa dalam perjalanan dari restoran ke rumah. saya ternampak ada satu gerai menjual ais cendul. Tetapi, perut saya sudah penuh untuk minum ais cendul. Saya memandu kereta melepasi penjual ais cendul begitu sahaja.

Saya terfikir, kalau saya meneruskan usaha mencari sedikit sahaja lagi saya pasti berjumpa dengan penjual ais cendul itu. Tetapi tidak, saya telah berhenti mencari ketika sedikit sahaja lagi saya hampir menjumpainya. Dalam karya barat, situasi seperti ini disebut 'three steps from gold.' Saya hanya perlukan tiga langkah sahaja lagi untuk menemui 'emas' tersebut.

Semasa berlalu melepasi penjual ais cendul itu, saya terfikir tentang jodoh.
Ia sama seperti jodoh. Kita mesti bersabar, dan redha dengan apa yang Allah tentukan.

Latest Instagrams

© Afiya. Design by FCD.